SEJARAH PENUBUHAN IMAMJ






 SEJARAH IMAM JORDAN

Badan kebajikan anak Melaka di Jordan telah ditubuhkan sejak tahun 1996 atas nama Badan Kebajikan Anak Melaka Jordan (BKAMJ) dan telah dibubarkan pada tahun 2005 ekoran ketiadaan anak Melaka di Jordan lagi.
Encik Zaimuddin bin Hussein, Pegawai Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia Jordan pada waktu itu, adalah pencetus idea penubuhan persatuan ini memandangkan bilangan anak Melaka yang menuntut di Melaka semakin bertambah. Tambahan pula, baki wang BKAMJ sebanyak JD120 masih berada dalam simpanan beliau. Encik Zaimuddin telah menyuarakan pendapat ini kepada satu-satunya pelajar tajaan Kerajaan Negeri Melaka pada ketika itu iaitu saudara Faizal bin Ibrahim dan cadangan beliau mendapat respon positif.
Pada hari Khamis, tanggal 06 Disember 2007 Masihi/27 Zulkaedah 1428 Hijrah, semua pelajar-pelajar yang lahir di negeri Melaka, atau ibu bapanya lahir dan menetap di negeri Melaka telah dikumpulkan di Bayt Qasrul Balqis. Bilangan pelajar yang hadir pada hari itu adalah seramai 17 orang.
Perjumpaan ini telah diketuai oleh saudara Aiman bin Abdul Latif, yang telah menyuarakan cadangan pembukaan persatuan ini kepada anak-anak negeri Melaka. Setelah perbincangan dijalankan, mereka semua bersepakat untuk menggunakan Malacca Students Society of Jordan (MSSJ) atau Kesatuan Mahasiswa Melaka Jordan sebagai nama persatuan bagi menggantikan Badan Kebajikan Anak Melaka Jordan (BKAMJ) yang telah dibubarkan pada tahun 2005.
Proses penubuhan mengambil masa satu bulan bagi menyediakan draf undang-undang,perlembagaan dan sebagainya kerana data-data dan maklumat dari BKAMJ gagal diperolehi.Hasil perbincangan ini juga memutuskan bahawa persatuan ini tidak lagi berfungsi sebagai badan kebajikan anak negeri seperti sebelum ini, tetapi berfungsi sebagai persatuan yang membolehkan ahli yang terdiri dari anak-anak Melaka saling bertukar pandangan, tolong-menolong dan mengeratkan silaturahim serta bekerjasama dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan oleh MSSJ.
Dalam Mesyuarat Agung Kali Pertama, pilihanraya diadakan bagi menentukan Ahli Majlis Tertinggi MSSJ. Keputusan pilihanraya tersebut telah melantik 7 orang Ahli Majlis Tertinggi yang terdiri daripada ; Aiman Abdul Latiff(Yang diPertua), Faizal bin Ibrahim (Timbalan Yang di-Pertua), Nurazzahra binti Kamarudin (Naib Yang di-Pertua),  Muhammad Firdaus bin Kinawan (Setiausaha), Siti Mardhiah binti Roslan (Timbalan Setiausaha), Muhamad Ariff bin Muhamad Noordin (Bendahari), Siti Khuzaimah binti Abdul Karim (Timbalan Bendahari).MSSJ semakin bergerak aktif dan mencatat bilangan ahli seramai 80 orang.

Pada hari Jumaat, tanggal 04 April 2014 Masihi/03 Jamadil Akhir 1435 Hijrah, sekali lagi menyaksikan sejarah badan kebajikan ini dibubar serta digantikan dengan nama Ikatan Mahasiswa Anak Melaka (IMAM) Jordan. Setelah disepakati oleh Penasihat daripada Pegawai Atase Pendidikan Negeri Melaka Timur Tengah iaitu Ustaz Anuar bin Idris serta Ahli Majlis Tertinggi Sesi 2014/2015 pada 04 April 2014 serta dipersetujui oleh ahli IMAM Jordan dalam Majlis Jelajah Ahli Majlis Tertinggi sesi 2014/2015.
Peningkatan keahlian IMAM Jordan mencatat jumlah ahli yang sangat positif di mana peningkatan jumlah ahli semakin meningkat dari semasa ke semasa. Sehingga kini, jumlah ahli IMAM Jordan telah mencapai 110 orang termasuk ahli rasmi, ahli bersekutu dan ahli kehormat.

IMAMJ akan terus diusahakan dan dibangunkan untuk menjadi salah satu badan kebajikan yang cemerlang untuk anak-anak Negeri Melaka di Jordan.

0 ulasan:

Catat Ulasan